PERUTUSAN YB SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI KEDAH

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak awal tahun 2020 menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Lantaran itu, pelaksanaan aktiviti dan program perlu mengikut amalan norma baharu dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Perkhidmatan Awam kini sedang melalui satu proses transformasi yang menuntut kepada perubahan pantas, cepat, tepat, berkualiti, proaktif dan responsif. Sebagai penjawat awam, kita hendaklah sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu demi memenuhi kehendak pemegang taruh dan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai kelompok masyarakat  dan industri. Peranan dan tanggungjawab perlu kekal sebagai fokus utama dalam memelihara kepentingan rakyat melalui penyampaian perkhidmatan awam yang cepat dan berkesan.

Satu daripada komponen penting dalam usaha untuk memantapkan pengetahuan adalah dengan menghadiri majlis perkongsian ilmu seperti kursus dan seminar yang merupakan akses kepada segala maklumat serta input terkini mengenai amalan-amalan terbaik dalam bidang berkaitan. Pembangunan Kit Pegawai Tadbir Negeri Kedah ini adalah salah satu inisiatif untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan asas mengenai tugas seharian sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah. Penggunaan kit ini, diharap dapat dijadikan rujukan yang akan membantu membawa kepada keseragaman dalam pengurusan sesebuah organisasi.

Elemen pematuhan kepada peraturan sentiasa menjadi penekanan kerajaan. Sebarang bentuk kesalahan akan mencerminkan identiti jabatan dan sedikit sebanyak akan mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap sesebuah jabatan. Justeru, menjadi harapan saya agar setiap Pegawai Tadbir Negeri Kedah terus meningkatkan lagi kredibiliti, pemikiran dan profesionalisme lantas menjadi aset kepada Negeri Kedah. Saya ingin menyeru kepada seluruh Pegawai Tadbir Negeri Kedah agar sentiasa bersatu hati serta bekerjasama bagi memastikan hasrat dan matlamat Kerajaan dapat dicapai seterusnya melahirkan pegawai yang berdaya saing dan kompeten.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam pembangunan Kit Pegawai Tadbir Negeri Kedah ini.

Sekian, wasalam Kerja Rajin Rajin

DATO’ PADUKA AMMAR BIN DATO’ SHAIKH MAHMOOD NAIM,
DPSS., DSDK., JSD., SSS., AMK., AMN., BCK

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.