PERUTUSAN YB SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI KEDAH

Assalamua’alaikum dan salam sejahtera.

Perubahan yang berlaku dalam Abad Ke-21 dengan penemuan-penemuan yang drastik dalam pelbagai bidang termasuklah penggunaan teknologi digital dalam setiap ruang lingkup kehidupan telah membawa implikasi di mana maklumat dan pengetahuan bukan lagi dimonopoli oleh orang tertentu tetapi boleh diperolehi secara kolaboratif dari pelbagai sumber dan dalam bentuk multimedia. Sebagai penjawat awam, kita sentiasa berhadapan dengan keperluan untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu demi memenuhi kehendak pemegang taruh dan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai kelompok masyarakat  dan industri.

Salah satu komponen penting dalam usaha untuk memantapkan pengetahuan adalah dengan menghadiri majlis perkongsian ilmu seperti kursus dan seminar yang merupakan akses kepada segala maklumat serta input terkini mengenai amalan-amalan terbaik dalam bidang berkaitan. Penghasilan portal adalah salah satu inisiatif untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan asas mengenai tugas seharian sebagai penjawat awam negeri. Proses penghasilan portal secara National Blue Ocean Strategy (NBOS) dengan melibatkan pelbagai jabatan dapat meningkatkan keberkesanan kos dan memberikan nilai untuk wang (value for money). Adalah diharapkan dengan penggunaan kit ini sebagai rujukan akan membantu membawa kepada keseragaman dalam pengurusan sesebuah organisasi.

Elemen pematuhan kepada peraturan sentiasa menjadi penekanan kerajaan. Sebarang bentuk kesalahan akan  mencerminkan identiti jabatan dan sedikit sebanyak akan mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap sesebuah jabatan.  Justeru menjadi harapan saya agar setiap penjawat awam negeri terus meningkatkan lagi kredibiliti, pemikiran dan profesionalisme lantas menjadi aset kepada Negeri Kedah. Dengan adanya usaha berterusan dalam perkara ini, ianya mampu memberikan kesan kepada masyarakat akan kehebatan seseorang bergelar penjawat awam negeri.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam penghasilan portal ini.

Sekian, wasalam

DATO’ PADUKA AMMAR BIN DATO’ SHAIKH MAHMOOD NAIM,
DPSS., DSDK., JSD., SSS., AMK., AMN., BCK

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.