PENGURUSAN INTEGRITI PENJAWAT AWAM (MICAT)

Berdasarkan Pelan Pembangunan Kedah 2035, Kerajaan Negeri Kedah mengetengahkan satu konsep yang menerapkan budaya MICAT di dalam perkhidmatan awam. MICAT bermaksud MESRA – INTEGRITI – CEKAP – AKAUNTABILITI – TELUS yang perlu diamalkan pembudayaannya kepada setiap penjawat awam di Negeri Kedah.

I. Integriti

Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009 – Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia:

Penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus

Arahan ini bertujuan untuk memperkukuh struktur sistem pengurusan pentadbiran Kerajaan Malaysia di bawah Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Mekanisme pelaksanaannya adalah melalui penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus (JKTU) di peringkat persekutuan dan negeri sebagai pengukuhan kepada Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) yang telah digerakkan semenjak tahun 1998. Gerakan ini memberi fokus kepada pengukuhan kualiti sistem penyampaian Perkhidmatan Awam berteraskan aspek integriti merangkumi tujuh (7) terma rujukan. Usaha ini adalah sebagai kesinambungan strategi dan pendekatan secara menyeluruh kepada usaha-usaha penghayatan nilai-nilai murni, pemantapan integriti, pembanterasan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai badan awam.

i. Jawatankuasa Antirasuah

Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2018.

Arahan ini bertujuan mendukung usaha memperkukuh Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan. Usaha ini direalisasikan melalui pembentukan inisiatif Pemantapan Governans, lntegriti dan Anti-Rasuah dalam Pengurusan Pentadbiran Kerajaan bagi menggantikan Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan. Matlamat utama pemantapan ini adalah untuk memastikan pengurusan pentadbiran kerajaan bebas daripada pelakuan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Bagi mencapai hasrat ini, pengurusan pentadbiran Kerajaan hendaklah dilaksanakan dengan cekap, berdisiplin dan berintegriti.

ii. Jawatankuasa Antirasuah (Jar) Peringkat Kerajaan Negeri 

a. Peranan dan Tanggungjawab Jawatankuasa Antirasuah Peringkat Kerajaan Negeri

  1. Mengenal pasti isu, masalah dan langkah-langkah penambahbaikan berdasarkan empat terma rujukan yang telah ditetapkan.
  2. Mencadangkan langkah-langkah penyelesaian dan cadangan penambahbaikan kepada JAR Peringkat Kebangsaan.