PRAKATA SETIAUSAHA BAHAGIAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA

Pelbagai usaha dilaksanakan bagi memantapkan dan melancarkan urusan berkaitan pengurusan sumber manusia serta memperkasakan Perkhidmatan Awam Negeri Kedah yang berteraskan kepada budaya kerja berprestasi tinggi dan berperibadi unggul.
Kit Pegawai Tadbir Negeri Kedah telah dibangunkan hasil cetusan idea Yang Berhormat Dato’ Paduka Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah untuk digunakan sebagai satu daripada sumber rujukan oleh Pegawai Tadbir Negeri Kedah.
Tujuan utama kit ini dibangunkan adalah untuk memberi input kepada Pegawai Tadbir Negeri Kedah tentang perkara-perkara asas pentadbiran sesebuah jabatan dalam kerajaan Negeri Kedah disamping peranan kita sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah.
Antara intipati kandungan kit ini adalah berkenaan punca kuasa pelaksanaan pentadbiran dan pengurusan dalam jabatan kerajaan negeri, tugas-tugas pengurusan sumber manusia, pengurusan kewangan dan perolehan, pekeliling atau arahan terkini yang diguna pakai, latihan dan kompetensi, pengurusan dan pentadbiran daerah, tanah dan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Aspek-aspek ini dilihat perlu dikuasai oleh seseorang yang telah dilantik sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah.

Maklumat di dalam kit ini dapat membantu pegawai dalam menghadapi realiti tugas dan persekitaran yang bakal digalas. Diharapkan setiap Pegawai Tadbir Negeri Kedah dapat memanfaatkan sepenuhnya maklumat yang disediakan ini disamping turut memperkaya ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa dalam usaha untuk memberi perkhidmatan yang berkualiti, seterusnya menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat.

Pegawai Tadbir Negeri haruslah sedaya upaya berusaha menerapkan sikap positif, komitmen yang tinggi, persefahaman serta sokongan secara berterusan kepada setiap anggota dalam pentadbiran jabatan. Semoga perkhidmatan awam Negeri Kedah akan terus dinamik dalam mengharungi sebarang perubahan dan cabaran sepanjang zaman.

 

BADRULHISHAM BIN HAJI SULAIMAN, AMK, BCK.
Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia