AGENSI BERKAITAN KERAJAAN NEGERI KEDAH

SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM NEGERI KEDAH

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah telah diwujudkan oleh Majlis Undangan Negeri Kedah (Legislative Assembly) pada 24 Ogos 1959 di bawah “State Public Service Commission Enactment 1959” atau Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri 1959. Enakmen tersebut telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah pada 20 Oktober 1959 dan seterusnya diwartakan pada 29 Oktober 1959.

LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH

 Lembaga Zakat Kedah ditubuhkan berdasarkan tarikh Notis Memberi Nasihat Ketentuan Yang Bersangkutan dengan perkara zakat pada 19 Jamadil Akhir 1355 bersamaan dengan
5 September 1936.  Pada tahun 2015, Jabatan Zakat Negeri Kedah telah ditukar kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah melalui pengenalan kepada Enakmen Zakat. Melalui enakmen ini, Jabatan Zakat juga ditukar kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah bagi menjadikan pengurusan zakat di Negeri Kedah lebih tersusun.

LEMBAGA KEMAJUAN PENANAM-PENANAM PADI NEGERI KEDAH DARUL AMAN

Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Negeri Kedah adalah sebuah institusi terawal di Negeri Kedah dan diasaskan penubuhannya oleh orang Melayu, bertujuan membantu para petani, khususnya penanam-penanam padi. Gerakan penubuhannya tercetus ekoran penurunan harga padi oleh kerajaan persekutuan pada tahun 1955 iaitu daripada RM17.00 menjadi RM12.00 sepikul. Insiden penurunan ini menimbulkan keresahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan petani kerana pendapatan mereka terjejas. Pejabat pertama lembaga mula beroperasi dengan menumpang di sebuah bilik di Pejabat Tanah Kota Setar dan Setiausaha Lembaga yang pertama ialah Encik Shaari Bin Mohd Daud. Pada 15 Disember 1955, Majlis Mesyuarat Kerajaan bersetuju dan meluluskan penubuhan Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Kedah di bawah Enakmen No. 1 Tahun 1375 (1955).

PERBADANAN KEMAJUAN NEGERI KEDAH (PKNK)

 Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada 25 Ogos 1965 di bawah Enakmen Kerajaan Negeri Kedah No 5/1965 berperanan sebagai sebuah agensi yang menjana ekonomi negeri dan bertanggungjawab dalam pembangunan sosio korporat (CSR) di bawah kawal selia Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Selaku peneraju dalam pembangunan ekonomi bagi Negeri Kedah Darul Aman, PKNK telah memainkan peranan penting dalam aktiviti perladangan, hartanah, perindustrian, pelaburan, pelancongan dan pembangunan usahawan di samping terlibat dalam aktiviti yang berbentuk tanggungjawab sosial korporat.

LEMBAGA MAKTAB MAHMUD NEGERI KEDAH DARUL AMAN

Maktab Mahmud merupakan sebuah sekolah yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dan dinaungi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah. Lembaga Maktab Mahmud ditubuhkan pada tahun 1967 oleh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman menurut Enakmen Lembaga Maktab Mahmud 1967 bertujuan untuk melicinkan perjalanan pentadbiran sekolah ini. Maktab Mahmud telah berjaya melahirkan ramai cendekiawan Islam dalam melaksanakan prinsip-prinsip pendidikan negara.

LEMBAGA KEMAJUAN WILAYAH KEDAH (KEDA)

 Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) ditubuhkan pada 28 Mei 1981 di bawah Akta Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah 1981 (Akta 249) dengan tujuan membantu mempercepatkan pembangunan sosio ekonomi di kawasan KEDA. Mulai 15 November 2017, Akta Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah 1981 (Akta 249) dirujuk sebagai Akta Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah 1981 (Akta 249) Pindaan 2017. Kawasan operasi KEDA meliputi keluasan 8,297 km persegi iaitu 89% daripada keseluruhan Negeri Kedah kecuali kawasan MADA. Sebagai agensi Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), KEDA dipertanggungjawabkan dalam pelbagai aspek pembangunan sosioekonomi, pembasmian kemiskinan dan menyeimbangkan pembangunan fizikal antara bandar dan luar bandar.

LEMBAGA SUMBER AIR NEGERI KEDAH (LSANK)

 Sumber Air Negeri Kedah adalah sebuah agensi yang bernaung di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Ia ditubuhkan melalui Enakmen Sumber Air Kedah 2008 bertarikh 13 Februari 2008 yang diluluskan oleh Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman. Mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang bersidang pada 21 November 2007 telah meluluskan Enakmen Sumber Air Negeri Kedah. Enakmen Sumber Air Kedah 2008 mula berkuatkuasa mulai 1 Jun 2010. Menteri Besar Negeri Kedah ketika itu, Y.A.B Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Bin Abdul Razak, DHMS., JPMK., JP dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah. LSANK mula beroperasi pada 1 Julai 2010 bertempat di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

PUSPANITA

 PUSPANITA telah ditubuhkan dan dengan rasminya dilancarkan pada 1 Mac 1983 oleh YBhg. Puan Sri Datin Zawiah binti Haji Yacob, isteri mantan Ketua Setiausaha Negara. Beliau ialah Yang Dipertua PUSPANITA pertama. Penubuhan PUSPANITA  cetusan idea Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd. Ali, isteri mantan Perdana Menteri Malaysia (Tun Dr. Mahathir Mohamad) pada tahun 1982.

PUSPANITA adalah singkatan kepada Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia. Antara tujuan penubuhan PUSPANITA adalah untuk merapatkan perhubungan muhibah dan menyatupadukan isteri-isteri dan anggota-anggota perkhidmatan di semua peringkat perkhidmatan. PUSPANITA juga ditubuhkan bagi menggalakkan perkembangan pengetahuan, kemahiran serta kemajuan diri ahli-ahli persatuan menerusi program jangka panjang dalam pelbagai bidang, seperti kepenggunaan, pembangunan keluarga, ICT, keusahawanan, sukan dan kesihatan, ketrampilan diri, hiasan dan landskap melalui ceramah-ceramah bengkel, seminar dan kursus.

 

Selain itu, PUSPANITA juga mengadakan Tabung PUSPADARA untuk memberi pendedahan tentang penyakit kanser, penyakit yang mengancam nyawa kaum wanita di negara ini. Isteri YAB Perdana Menteri ialah Penaung, YBhg. Ketua Setiausaha Negara ialah Penasihat dan isteri YBhg. Ketua Setiausaha Negara ialah Yang Dipertua kepada persatuan ini.

 

Manakala di peringkat negeri, isteri YAB Menteri Besar ialah Penaung, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah ialah Penasihat dan isteri YB Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah ialah Pengerusi kepada PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah.

PERSATUAN PEGAWAI TADBIR NEGERI KEDAH

Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) telah ditubuhkan bertujuan untuk mengadakan kegiatan yang sesuai untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan Pegawai Tadbir Negeri Kedah serta menjaga kebajikan Pegawai Tadbir Negeri Kedah. Selain itu, platform persatuan digunakan untuk berbincang dan mencari penyelesaian yang paling baik jika timbul masalah-masalah dalam pentadbiran kerajaan yang melibatkan kepentingan Pegawai Tadbir Negeri Kedah. Persatuan juga berusaha untuk meningkatkan prestasi kerja dalam kalangan ahli dan menyumbangkan buah fikiran serta tenaga untuk pembangunan dan kesejahteraan Negeri Kedah Darul Aman serta mewujudkan semangat berpasukan (espirit de corps) dalam kalangan Pegawai Tadbir Negeri Kedah.

 

Keahlian persatuan adalah terbuka dengan yuran masuk sebanyak RM300.00 kepada semua Pegawai Tadbir Negeri Kedah yang sedang berkhidmat sahaja. Mana-mana ahli yang tamat perkhidmatan dengan sendirinya gugur daripada menjadi ahli kepada persatuan. Terdapat pelbagai program dan aktiviti yang telah dijalankan antaranya adalah program prihatin KCS iaitu sumbangan persatuan kepada ahli yang menimang cahaya mata, yang akan mendirikan rumah tangga serta kematian ahli keluarga induk. Persatuan juga menjadi tunjang kepada penyelarasan Program Peningkatan Kemajuan Kerjaya Pegawai-pegawai Tadbir Negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diadakan antara empat negeri ini.

 

Selain itu, persatuan juga turut menyumbang kepada pembangunan sukan para pegawai mengikut minat serta bakat masing-masing seperti Kelab Bola Sepak KCS, Badminton Ladies KCS, KCS Runners, KCS Snorkeling, Bola Jaring KCS, Kelab Gereq KCS dan pelbagai lagi. Persatuan juga turut terlibat dalam program CSR dengan masyarakat iaitu Program Rak Makanan yang melibatkan empat buah masjid di beberapa daerah dalam Negeri Kedah dan Program ‘Back to School’ yang melibatkan pelajar sekolah yang memerlukan bantuan.

 

PERSATUAN MENCEGAH DADAH MALAYSIA (PEMADAM)

PEMADAM adalah singkatan daripada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia merupakan pertubuhan sukarela yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. PEMADAM ditubuhkan diatas sokongan rakyat maka segala usaha yang dilaksanakan atas kepentingan rakyat. PEMADAM mengajak ke arah kebaikan dan menyeru rakyat Malaysia menghargai kehidupan mereka dengan mengelakkan diri daripada terjerumus dengan aktiviti yang tidak membawa manfaat kepada diri, keluarga, bangsa dan agama.

PENGHULU

Peranan dan tanggungjawab institusi penghulu di Kedah Darul Aman telah pun wujud sejak awal zaman pemerintahan beraja. Sehingga kini, institusi ini mengalami perubahan struktur dan organisasi mengikut peredaran masa. Kini, perjawatan penghulu sebagai ketua pemerintahan di peringkat mukim bertanggungjawab penuh kepada Pegawai Daerah selaku ketua pentadbiran tanah. Penghulu merupakan penjawat awam yang ada hubungan terus dan terlibat secara langsung dengan rakyat di peringkat bawah.

Tugas dan fungsi utama Penghulu:

  • Pembangunan manusia dan kemudahan asas dalam mukim.
  • Berkaitan hal ehwal keagamaan.
  • Bidang sosial dan kemasyarakatan.
  • Bidang ekonomi
  • Bidang keselamatan
  • Pendidikan
  • Menjadi ketua pentadbir mukim dan bertanggungjawab diatas segala hal mukim.
  • Menjadi orang perantaraan antara kerajaan dan rakyat di peringkat mukim dengan menyampaikan maklumat-maklumat daripada kerajaan kepada rakyat dan daripada rakyat kepada kerajaan.
  • Menyelesaikan perselisihan pendapat dan perbalahan antara anak-anak buah dalam mukim.
  • Menolong dan memberi kerjasama kepada semua jabatan dan lain-lain agensi kerajaan.
  • Menghadiri setiap mesyuarat yang ianya dijemput dan patut hadir seperti Mesyuarat Majlis Ketua Kampung, jawatankuasa masjid, jawatankuasa perayaan peringkat kampung, mukim, daerah dan sebagainya.
  • Membuat penyiasatan dan laporan pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Pegawai Daerah dan/atau penolong-penolongnya.
  • Menghimpun penduduk kampung bagi tujuan majlis penerangan, dialog dan sebagainya.
  • Menyampaikan arahan dan maklumat kepada penduduk-penduduk kampung yang diperlukan dengan kadar yang segera dan membawa orang yang dikehendaki berjumpa dengan
    Pegawai Daerah dan/atau penolong-penolongnya.
  • Menjalankan segala tugas yang diarahkan oleh Pegawai Daerah dan/atau penolong-penolongnya yang selain daripada yang tersebut di atas seperti menyampaikan surat-surat yang tidak dapat disampaikan melalui perkhidmatan pos dan sebagainya.

JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT (JKM)

 

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah ditubuhkan pada bulan April 1946. Dalam jangkamasa 72 tahun, JKM telah mengalami evolusi dalam memenuhi peranannya dalam pembangunan negara. Bermula dengan penglibatan menangani pelbagai masalah yang timbul akibat Perang Dunia Kedua, peranan dan fungsi jabatan ini telah berkembang kepada perkhidmatan pencegahan dan pemulihan dalam isu-isu sosial serta pembangunan masyarakat. Sebagai salah satu agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial, ia telah di tempatkan di bawah beberapa kementerian.

JABATAN PERKHIDMATAN VETERINAR NEGERI KEDAH DARUL AMAN

 Negeri Kedah adalah negeri yang pertama mempunyai perkhidmatan veterinar berbanding dengan negeri-negeri lain dalam Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Jabatan Perkhidmatan Veterinar mula berkembang selaras dengan kepesatan pembangunan negara selepas negara mencapai kemerdekaan. Serentak dengan itu perkhidmatan veterinar daerah turut diwujudkan bagi bertujuan meningkatkan perkhidmatan kesihatan veterinar dan kawalan penyakit ternakan agar berjalan dengan lancar. Pada 26, Ogos 1973, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah telah dipindahkan ke bangunan baru di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar sehingga sekarang.

JABATAN KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN (JKPTG)

 Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian adalah salah satu jabatan dalam organisasi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli. Semenjak tahun 1957, jabatan ini telah dipindahkan beberapa kali daripada pelbagai kementerian berikut:

  • Kementerian Hasil Bumi (1957 - 1963).
  • Kementerian Pembangunan Luar Bandar (1963 - 1970).
  • Kementerian Perusahaan Utama (1970 -1973).
  • Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah (1973 -1990).
  • Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi (1990 - 2004).
  • Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (Semenjak 27 Mac 2004).

Nama jabatan ini juga mengalami beberapa perubahan panggilan nama seperti berikut:

  • Pejabat Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (Office of the Federal Commissioner of Lands) - (1957 - 1970).
  • Pejabat Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (Office of the Director General of Lands and Mines (Federal)) - (1970).
  • Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan - (1.1.1978).
  • Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Tanah (di bawah Integrasi dalam Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah) - (1.1.1982).
  • Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah - (1.1.1989).
  • Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian - (1.1.1992).

PEJABAT KEMAJUAN NEGERI (ICU)

 Pejabat Kemajuan Negeri (PKN) telah wujud semenjak 14 Oktober 1969. Pada peringkat awal penubuhannya, Pejabat ini telah diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar (KPNLB). Apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada tahun 1970, sebuah unit telah ditubuhkan pada tahun 1971 yang dikenali sebagai Unit Penyelarasan, Pelaksanaan dan Penilaian (Implementation Coordination and Evaluation Unit - ICEU). Pejabat Kemajuan Negeri (PKN) diletakkan di bawah unit ini.

 

Pada tahun 1972, ICEU digabungkan dengan Unit Kemajuan Pentadbiran (UKP) dan dikenali sebagai Unit Penyelarasan, Pelaksanaan dan Kemajuan Pentadbiran (UPPKP). Unit ini berpindah lagi dan kali ini ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ketika itu, pejabat ini dikenali sebagai Bahagian Penyelarasan Pelaksanaan (BPP). Namun selepas beberapa tahun, BPP diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dikenali kini sebagai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (UPP). Kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Negara (MTN) ekoran pelancaran DEB pada tahun 1970. Strategi serampang dua mata DEB adalah untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Peranan utama MTN adalah untuk mengesan, menyelaras dan memastikan pelbagai program dan projek pembangunan yang dirancang, dilaksanakan dengan sempurna dan berjalan lancar berdasarkan Arahan No. 1 Tahun 1971.

 

KOPERASI PEGAWAI-PEGAWAI TADBIR NEGERI KEDAH DARUL AMAN BERHAD

Koperasi Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Kedah Darul Aman Bhd telah ditubuhkan pada November 1983 atas nama The Kedah Civil Service Co-operative Thrift and Investment Society Limited sebagai Koperasi pinjam meminjam dan pelaburan. Pada ketika itu, pemberian pinjaman kepada anggota-anggota adalah semata-mata untuk membantu anggota yang menghadapi masalah dan pembayaran balik adalah melalui pemotongan gaji masing-masing. Setelah sekian lama dan keperluan kepada Koperasi juga menjadi semakin kompleks, anggota telah mengambil keputusan untuk mengubah bentuk aktiviti koperasi kepada entiti yang lebih menguntungkan dan dapat memberi kebajikan yang lebih baik dengan imej yang baru. Lanjutan daripada itu, pada 30 Julai 1996 Koperasi telah mendapat kelulusan pindaan undang-undang kecilnya dan serentak dengan itu juga nama koperasi telah ditukarkan kepada Koperasi Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Kedah Darul Aman Berhad dan digunakan sehinggalah sekarang.